Baginda yang tidak lokek ilmu berkongsi kepakarannya dalam bidang mengait atau krusye dengan mengajar 20 peserta dalam program yang berlangsung kira-kira tiga jam itu.

Tunku Azizah ketika bertitah sebelum kelas bermula menyatakan rasa gembira kerana dapat berkongsi ilmu dengan para peserta yang terdiri daripada komuniti setempat termasuk masyarakat Orang Asli.

Tengku Puan Pahang turut membawa peralatan mengaitnya sendiri dan beberapa koleksi hasil kerjanya yang cukup menarik untuk dijadikan contoh kepada para pelajar baginda.

Seorang peserta, Nurul Amira Bahaznan, 24, dari Kuantan berkata, dia pada mulanya agak gementar untuk berhadapan dengan ‘'guru kelas’ kerana Tunku Azizah pada pandangannya adalah seorang kerabat raja yang cukup disegani.

“Perasaan gementar, takut dan teruja semuanya bercampur-baur. Gembira memang tidak terkata kerana bukan sahaja dapat menuntut ilmu tetapi dapat bersua dengan Tengku Puan Pahang.

“Perasaan itu sedikit demi sedikit hilang kerana baginda begitu mesra. Baginda juga tidak lokek berkongsi ilmu dan sanggup berjalan dari satu meja ke satu meja untuk melihat serta menegur kesilapan kami,” katanya ketika ditemui pemberita.

Menurut Nurul Amira, Tengku Puan Pahang seorang yang tegas kerana mahu ‘pelajarnya’ belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya menghasilkan corak seperti contoh diberikan.

“Jika ada kesilapan, baginda meminta kami buka semula benang dan akan ajar satu persatu sehingga berjaya mendapatkan corak yang betul,” katanya yang mempunyai kedai jahitan di Kuantan.

Seorang lagi peserta, Izzah Atirah Ismahizam, 20, pula berasa sangat bertuah apabila dapat menuntut ilmu dengan seseorang yang cukup hebat dan ternama.

Sebelum ini, katanya, dia sering mengikuti laman sosial Tunku Azizah di Instagram yang berkongsi aktiviti mengait baginda.

“Tidak sangka pula saya dapat menuntut ilmu dan bersua dengan baginda. Hasil kerja baginda begitu kemas dan cantik,” katanya yang mengikuti bidang fesyen dan pakaian di Kolej Komuniti Temerloh.