AMIR BIN MD. NOOR S.S.P, S.M.S, A.M.P
Selamat datang dan terima kasih kerana melayari laman web Jabatan Pengajian Kolej Komuniti (JPKK).
Kolej Komuniti diluluskan penubuhannya melalui mesyuarat kabinet pada 5 Julai 2000 bertujuan menyediakan pendidikan dan latihan kepada masyarakat setempat termasuk memberi peluang dan laluan alternatif kepada lepasan menengah dan pelajar yang tercicir daripada sistem pendidikan. Sehingga kini terdapat 50 kolej komuniti induk dan 28 kolej komuniti cawangan di seluruh negara. Sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat, kolej komuniti melaksanakan hasrat kerajaan melalui Rancangan Malaysia ke10 (RMk10) untuk mengarusperdanakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional. Kolej Komuniti menawarkan kursus secara sepenuh masa, separuh masa dan kursus-kursus pendek dengan syarat kemasukan yang minimum dan latihan yang fleksibel dan inovatif untuk memenuhi keperluan individu, masyarakat, industri dan negara.
Selaras dengan Program Transformasi Ekonomi, Kolej Komuniti menjalin kolaborasi strategik dengan 5 koridor ekonomi iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Wilayah Pembangunan Sabah dan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak. Kolej komuniti akan menyediakan tenaga kerja serta memberi pendidikan dan latihan mengikut keperluan industri di koridor-koridor ekonomi ini untuk memastikan kejayaan Program Transformasi Ekonomi ke arah menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Pendidikan dan latihan keushawanan diberi fokus utama di Kolej Komuniti selaras dengan Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT. Kolej Komuniti membudayakan keusahawanan sebagai satu kerjaya pilihan lulusannya dan memupuk kesedaran mengenai bidang keusahawanan dalam kalangan masyarakat setempat untuk menjadi usahawan yang berjaya dan berdaya saing.
Saya mengajak anda semua menjadi warga kolej komuniti melalui program pendidikan dan latihan yang ditawarkan. Saya akan memastikan anda teruja mengikuti program pembelajaran sepanjang hayat yang diminati dan menjadikannya titik permulaan untuk menyerlah dan memaksimumkan potensi diri anda. Jadikan pengalaman di Kolej Komuniti sebahagian daripada perjalanan hidup untuk merealisasikan cita-cita dan aspirasi anda. Tidak kira di mana anda bermula; yang penting di mana anda berakhir.